fb fb fb fb fb

Pembinaan projek lebuh raya WISE diluluskan - MB Perak

Datuk Seri Saarani pada Program Perak Economic Outlook 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini/ FB Stratcomm Perak

IPOH, 14 Disember- Kerajaan Perak mengesahkan Kabinet telah meluluskan projek pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) sepanjang 60 kilometer (km) yang menghubungkan antara  Gopeng dengan Kuala Kangsar pada 13 Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kos pelaksanaan projek itu akan ditanggung sepenuhnya di bawah Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

Beliau berkata WISE adalah satu kaedah bagi menyelesaikan masalah trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) terutama apabila berlaku kemalangan di Terowong Menora, pengguna lebuh raya tiada laluan alternatif lain dan terpaksa menggunakan Jalan Persekutuan di Sungai Siput.

“Jadi selepas ada WISE ini, apabila berlaku kemalangan di PLUS maka mereka boleh menggunakannya sebagai laluan alternatif dari Gopeng ke Kuala Kangsar bagi mengelakkan kesesakan trafik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Perak Economic Outlook 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Ujar Saarani pihaknya akan memberi kerjasama penuh terhadap pelaksanaan projek berkenaan termasuk daripada aspek perolehan tanah daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya optimis pembukaan WISE kelak akan memberi impak positif selain pelengkap kepada jajaran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

“WISE akan merancakkan lagi negeri memandangkan sebahagian besar jajaran WCE telah dibuka kepada kenderaan awam. Jadi, ia akan menjadi pelengkap antara satu sama lain,” katanya.

Pada 16 September lalu, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan projek pembinaan WISE berada dalam fasa rundingan akhir selain dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Disember ini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI