KUALA LUMPUR, 9 Januari- Pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dibatalkan sebelum ini, dijangka bermula pada tahun 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pembinaan lima stesen baharu itu tidak akan dapat disiapkan menjelang tahun depan.
Jelasnya, lima stesen tersebut merupakan stesen pilihan dan akan mengambil masa dua tahun untuk dilaksanakan.
"Lima stesen baharu itu tidak dapat disiapkan menjelang tahun depan. Stesen itu belum dibina, maka ia tidak boleh disiapkan dalam tempoh setahun."
"Lima stesen itu merupakan stesen pilihan, akan dikembalikan tetapi akan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk dilaksanakan," kata Anthony kepada pemberita pada sesi pembentangan laporan prestasi Prasarana 2023 dan Pelan 2024 di ibu negara.
Beliau turut memaklumkan mengenai status projek LRT3 yang kini telah mencapai 91.68% setakat 25 Disember tahun lepas serta pengoperasiannya disasar bermula 1 Mac depan.
Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 merangkumi stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dibatalkan sebelum ini, dengan membabitkan kos RM4.7 bilion.