fb fb fb fb fb

Pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman, cadangan dipertimbang semula - MPFN

KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) memutuskan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman perlu diangkat semula untuk pertimbangan.

Sebarang keputusan pelaksanaannya hanya akan diputuskan selepas hasil Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) selesai.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sebarang keputusan mengenai projek itu juga adalah tertakluk kepada hasil laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan syarat yang ditetapkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) Ke-36 (Bil.3/2020) pada 27 Oktober 2020 antara lain telah bersetuju secara dasar dengan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu tertakluk kepada keperluan untuk menyediakan beberapa laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (ElA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA), Marine Risk Assessment, Coral Mapping Studies dan Land-Disturbing Pollution and Mitigation Measures.

Mesyuarat MPFN tersebut juga memutuskan bahawa cadangan ini perlu diangkat semula untuk pertimbangan," kata Wee Ka Siong menjawab soalan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.


(Dewan Rakyat/Fail)

Sementara itu, skop asal projek menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu di Serian, Sarawak perlu diubah.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin, berdasarkan hasil lawatan ke tapak projek pada Mei lalu, keperluan tersebut meliputi penggantian sebahagian blok bangunan usang dengan yang baharu berbanding cadangan asal hanya menaik taraf bangunan sedia ada.

Pelantikan perunding untuk reka bentuk pula dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada November ini.

"Pelantikan jururunding bagi tujuan penyediaan rekabetnuk dijangka dapat dimuktamadkan pada selewat-lewatnya November 2022 sebelum dibentangkan dalam makmal pengurusan nilai pada Februari 2023. Projek ini seterusnya akan 'ditender' pada Jun 2023 dengan tempoh penyiapan selama 36 bulan," jelas Jonathan menjawab pertanyaan wakil Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem di Parlimen.

Projek naik taraf Kompleks ICQS Tebedu telah diluluskan dalam RP1 RMK-12 dengan nilai RM100 juta.

Peruntukan yang disediakan untuk tahun ini adalah sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja awalan khususnya bagi pelantikan jururunding.

 

Media Baharu