fb fb fb fb fb

KPDNHEP Pahang tahan dua individu seleweng diesel RM59,000.00

KUANTAN, 3 Ogos- Dua individu tempatan ditahan, dipercayai terbabit dalam penyelewengan minyak diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM59,000.00.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Datuk Mark Ujin berkata Kedua-dua suspek berusia 51 dan 21 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi minyak di Indera Mahkota, Kuantan, dengan menggunakan sebuah lori tujuh tan yang telah diubah suai.

Tangkapan membawa kepada penemuan 8 tangki petak yang telah diubah suai, di bahagian belakang lori dengan dianggarkan setiap tangki petak berkapasiti 1,000 liter.


(Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin)

"Turut ditemui, hos khas yang digunakan bagi tujuan memindahkan diesel dari tangki minyak lori ke tangki petak berkenaan", katanya.

Modus operandi sindiket tersebut adalah dengan mengisi diesel di lebih lima stesen minyak bagi memenuhi tangki petak tersebut.

"Lori tersebut telah diubah suai yang mana melibatkan tangki di bawah bahagian lori. Jadi ada satu alat biasanya pam diesel-diesel minyak tersebut naikkan ke dalam lori disedut naik ke atas. Ini menunjukkan sindiket terancang", katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Pahang, Kuantan di sini.

Beliau turut menjelaskan diesel itu dipercayai untuk pasaran luar negeri Pahang dan tidak menolak kemungkinan suspek sebahagian sindiket penyelewengan minyak diesel yang kerap menukar kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (pindaan) 2021 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Media Baharu