KUALA LUMPUR, 24 Jun - Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) kedua ketika ini mencapai status kemajuan 64.66 peratus manakala status terkini bagi kapal LCS ketiga pula berada pada tahap 56.48 peratus.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah bayaran yang dibuat bagi pembinaan kapal LCS kedua adalah berdasarkan kontrak yang telah ditandatangani dan bukannya mengikut kemajuan setiap kapal secara individu.
"Selaras dengan perkara itu kerajaan telah membayar RM7.15 bilion iaitu bersamaan 63.69 peratus, berbanding perancangan asal pembayaran iaitu 68.43 peratus berdasarkan kontrak mengikut kemajuan semasa perolehan LCS kelima-lima kapal secara keseluruhannya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wakil Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang ingin mengetahui situasi terkini pembinaan kapal LCS kedua serta jumlah bayaran yang telah diselesaikan Kementerian Pertahanan kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS).