KUALA LUMPUR, 24 Jun- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjadi badan kerajaan pertama menyertai Program Karbon Korporat Malaysia Aviation Group (MAG).
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata langkah itu merupakan sebahagian komitmen kementerian untuk mengimbangi pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam setiap perjalanan rasmi.
Beliau berkata tindakan ini merupakan satu daripada cara untuk menggalakkan kemampanan dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk mempromosikan kelestarian.
"Kita akan membawa perkara ini ke Kabinet, kita ada Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang saya pengerusikan dan kita akan lihat bagaimana.
“Jika kita tidak boleh buat di setiap kementerian sekurang-kurangnya beberapa kementerian…ada yang kritikal ke arah penyahkarbonan dan hijau", katanya dalam sidang media selepas pelancaran Laporan Kelestarian MAG 2023 sempena Hari Kelestarian di sini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail.
Nik Nazmi berkata Program Karbon Korporat MAG dilancarkan pada Mac tahun ini dan kerjasama dengan Petronas Dagangan Bhd (PDB) untuk mewujudkan kemudahan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) berskala komersial menunjukkan komitmen Malaysia dalam mengurangkan pelepasan karbon dan meletakkan negara sebagai peneraju amalan penerbangan mampan di peringkat serantau dan global.