fb fb fb fb fb

Jalan rosak, penduduk Pos Tuel mohon jalan dibaik pulih segera

Jalan di perkampungan Orang Asli Pos Tuel menjadi nadi perhubungan penting untuk hampir 1,000 penduduk Orang Asli di kawasan itu

GUA MUSANG, 24 Jun - Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan berharap pihak berwajib dapat membaiki jalan utama di kampung mereka yang rosak teruk.

Situasi tersebut mengundang bahaya, akibat jalan hampir tidak boleh dilalui susulan tanah runtuh dan jalan berlubang.

Jalan berkenaan menjadi nadi perhubungan penting untuk hampir 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Tuel.

Antara penduduk kampung yang sering menggunakan jalan berkenaan ialah dari Kampung Tuel, Kampung Hanir, Kampung Ber, Kampung Poh dan Kampung Kerbok.

"Masalah kita disini ialah jalan runtuh, hendak lalu pun susah. Budak sekolah hendak keluar pun susah sebab jalan runtuh. Runtuh sebab lori lalu tiap hari," kata Andol Busu.

"Harapan saya kalau boleh pihak berwajib kena ambil perhatian sebab sini laluan utama," kata Ramli Ngah.

"Saya sudah lama buat permohonan minta buat jalan itu tapi sampai sekarang belum buat lagi, itu yang saya amat risau. Kalau boleh jalan itu pihak atasan kena ambil berat lah, saya berharap sangat lah," kata Penghulu Pos Tuel, Halim Sharif.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim memaklumkan peruntukan bagi membina jalan berkenaan telah diluluskan.

Justeru beliau berharap projek naik taraf itu boleh disegerakan demi keselamatan penduduk Pos Tuel.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN