fb fb fb fb fb

Pembinaan Empangan Sabo berjalan lancar


YAN, 20 Februari - Pembinaan Empangan Sabo di Titi Hayun, Yan dan Tupah, Merbok, Kedah kini berjalan lancar.

Kedua - dua empangan itu yang menelan kos RM22.8 juta mampu menahan atau menampan sisa-sisa kayu balak atau arus deras akibat fenomena kepala air.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata empangan yang dibina menggunakan teknologi Jepun itu dijangka siap pada penghujung tahun ini dan bakal menjadi tarikan baharu orang ramai berkunjung ke pusat rekreasi berkenaan.

"Kita lihat ia (empangan) berbentuk U, di tengah-tengah itu diletakkan jajaran untuk menahan pokok - pokok dan saya berharap dengan adanya Empangan Sabo ini boleh menyelesaikan fenomena berlakunya kepala air ," katanya kepada Berita RTM selepas Program Jaringan Kecemerlangan Pendidikan Parlimen Jerai Bersama Calon Peperiksaan SPM/ STPM dan STAM, di sini.

Menurut Sabri, jambatan sementara di Kampung Setoi, Yan yang terputus dan runtuh akibat banjir besar kepala air pada Ogos tahun lalu, telah siap dibina.

Manakala beberapa kerosakan infrasruktur kemudahan awam termasuk jalan-jalan kampung telah diperbaiki semula melalui peruntukan yang disalurkan kerajaan.

 

Media Baharu