fb fb fb fb fb

Larangan merokok: 25 notis dikeluarkan dalam OPS MEGA di Putrajaya

PUTRAJAYA, 20 Februari - Satu Operasi Bersepadu Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (OPS MEGA PPKHT 2004) telah dijalankan di Putrajaya.

Ia bagi memastikan pematuhan larangan merokok di bawah Peraturan 11(PPKHT) 2004 dipatuhi.

Operasi melibatkan 25 premis makanan yang dikenal pasti termasuk Bazaar 8 dan Ayer 8, Presint 8, Presint 9 dan Presint Diplomatik.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Norhayati Rusli memaklumkan 25 notis telah dikeluarkan dengan nilai kompaun RM3,750.

"Penguatkuasan akan diteruskan selepas ini. Kita telah banyak menerima aduan umum mengatakan masyarakat kita mula merokok di tempat-tempat larangan merokok.

"Jadi penguatkuasaan bukan hanya setakat ini tapi pihak KKM bersama dengan semua pegawai penguat kuasa semua peringkat lapangan di Malaysia. Yang penting adalah untuk mendidik kepada semua," kata Dr. Norhayati kepada wartawan di sini.

Tambah beliau, 205 orang awam telah diberikan pendidikan kesihatan melalui nasihat dan edaran kad berkaitan jenis kesalahan dan nilai kompaun.

Operasi dijalankan melibatkan 38 anggota penguatkuasaan daripada Pejabat Kesihatan Putrajaya, Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P).

 

Media Baharu