KOTA BHARU, 20 Februari- EXCO negeri Kelantan, Dr Izani Husin disahkan positif COVID-19.
Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan menerusi satu kenyataan memaklumkan, Dr Izani kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, sejak Selasa lalu.
Kenyataan itu juga mengingatkan supaya orang ramai agar terus patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi kebaikan bersama.
Jangkitan COVID-19 di Kelantan semalam mencatatkan 1,722 kes dan daripada jumlah itu, 1,706 adalah bagi kategori satu serta dua atau 99.07 peratus.
Bagi kategori tiga, empat dan lima pula sebanyak 16 kes atau 0.93 peratus.
Selain itu, kadar kebolehjangkitan atau R-naught COVID-19 bagi Kelantan adalah 1.34.