fb fb fb fb fb

Pembinaan 15 Pusat Pemindahan Kekal Bencana berjalan lancar

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pasca Bencana NADMA, Hussain Moh (tengah) menyaksikan penyerahan replika kunci projek SDCC Terengganu di Batu Buruk/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 10 Disember - Projek pembinaan 15 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjalan lancar dengan satu daripadanya bakal siap sepenuhnya pada bulan depan.

PPKB baharu di Sekolah Kebangsaan Seri Medan, Batu Pahat, Johor itu dijangka mula beroperasi tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pasca Bencana NADMA, Hussain Moh berkata, satu lagi PPKB baharu iaitu Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong Kuala Terengganu pula dijangka beroperasi pada Julai tahun hadapan.

Selain itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dinaik taraf kepada PPKB iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, Hulu Terengganu telah siap dan bersedia menerima kemasukan sekiranya berlaku banjir gelombang seterusnya pada masa terdekat.

Manakala, dua lagi PPS yang dinaik taraf kepada PPKB iaitu Dewan Taman Kota Jaya Kota Tinggi dan Dewan Segi Tiga Arena Johor telah pun beroperasi sejak tahun lalu.

Keseluruhan projek bina baharu dan naik taraf 15 PPKB menelan kos sebanyak RM135 juta yang boleh memuatkan sehingga 500 penduduk terjejas banjir pada satu-satu masa.

"Lebih 50 peratus PPS adalah sekolah, jadi ia sering mengganggu perjalanan sekolah, terutamanya semasa peperiksaan seperti SPM. Sebab itu kita bina PPKB untuk kurangkan gangguan tersebut.

"Yang paling penting, kita menyediakan kemudahan kepada mangsa-mangsa seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas, ruang rehat petugas, dewan makan, surau dan juga lokasi untuk perkhidmatan perubatan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) yang disampaikan Pengarah Pembangunan Persekutuan Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu Pengurusan Datuk Ab. Rasid Jusoh.

Projek pembinaan SDCC yang telah dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu telah bermula pada 20 Julai lalu dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 10 November tahun ini.

Skop kerja projek ini melibatkan pembinaan bangunan dan pengubahsuaian ruang, pembekalan infrastruktur ICT dan audio visual serta perabot. 

Kemudahan baharu ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan bencana di negeri tersebut.

ROSLINA BINTI DIN