(Jemaah haji Malaysia yang bakal tiba esok ke Madinah akan dibawa ke Masjid Nabawi serta melawat beberapa lokasi bersejarah)
MADINAH, 3 Jun- Pemantapan rohani dan jasmani jemaah haji Malaysia sebagai dhuyufurrahman iaitu tetamu Allah, di sini menjadi keutamaan Lembaga Tabung Haji, agar ibadah dilakukan diangkat sebagai haji mabrur.
Justeru, bimbingan melaksanakan ibadah haji sebaiknya sentiasa diterapkan 21 pembimbing ibadah dan 3 pakar rujuk yang terlatih dan bertauliah.
Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Ustaz Mohd Hishamuddin Mansor berkata, bagi memastikan jemaah Malaysia memperoleh haji mabrur, pihaknya turut membuat post-mortem agar tidak ada perkara wajib yang tertinggal dan jemaah tidak melakukan larangan seperti yang ditetapkan dalam ibadah itu.
“Kalau mereka hendak balik ke Malaysia nanti pun kami akan adakan 'post-mortem', ada sesi membuat senarai semak ibadat haji yang disedaikan sebelum itu untuk pastikan jemaah pulang ke tanah air dalam keadaan lapang dan lega kerana dapat selesaikan haji dengan sempurna,” katanya.
Selain itu, katanya, pembimbing bukan sahaja perlu menjawab persoalan agama tetapi juga perlu bijak menangani emosi mereka sekiranya mula berasa tidak selesa dengan keadaan semasa.
"Dengan kekuatan 21 pembimbing ibadah dan 3 pakar rujuk, segala persoalan dan kekeliruan jemaah, sedia ditangani bagi membangkitkan semangat dan menghindarkan emosi
terganggu melibatkan hal peribadi mahupun persekitaran," katanya yang turut mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan emosi serta keraguan jemaah haji.
Katanya, dalam tempoh lebih 40 hari di Madinah dan Makkah, jemaah haji bukan sahaja akan diuji dengan perasaan rindu pada kampung halaman, tetapi juga cabaran cuaca panas dan kepadatan yang mencecah sejuta orang dalam satu masa.
Tambahnya, jemaah yang masih keliru dengan ibadah haji dan penerima tawaran saat akhir juga tidak perlu gusar kerana akan tetap dibimbing dengan baik.walaupun tanpa sempat menghadiri kursus persediaan."Pembimbing akan cuba mengajar secara persendirian serta menyediakan nota sebagai rujukan jemaah haji," katanya
Katanya, pembimbing haji di Madinah dan Makkah bukan sahaja dalam kalangan ustaz tetapi juga ustazah kerana pelbagai persoalan tentang wanita dan ibadah akan berbangkit serta memerlukan jawapan yang tepat.
(Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Ustaz Mohd Hishamuddin Mansor berkata,
bagi memastikan jemaah Malaysia memperoleh haji mabrur, pihaknya turut membuat post-mortem agar tidak ada
perkara wajib yang tertinggal dan jemaah tidak melakukan larangan seperti yang ditetapkan dalam ibadah itu)
“Ada juga yang akan datang secara persendirian, mungkin ada juga yang belum memahami sepenuhnya cara melaksanakan ibadah haji kerana tidak menghadiri kursus haji di tanah air, itu pun kami akan bantu dari awal sampai akhir.
"Kalau mereka perlukan nota pun kami akan sediakan, biar mereka puas hati,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick.
Sementara itu, Mohd Hishamuddin berkata,jemaah haji Malaysia yang bakal tiba esok ke Madinah akan dibawa ke Masjid Nabawi serta melawat beberapa lokasi bersejarah.
"Di samping itu, para jemaah dalam masa sama dapat meneladani perjuangan, menyuntik keinsafan dan meningkatkan keimanan serta rasa sayang kepada agama Islam itu sendiri.
"Antaranya Masjid Quba iaitu masjid pertama yang didirikan Nabi Muhammad SAW serta Bukit Pemanah dan Bukit Uhud iaitu lokasi peperangan Uhud pada 7 Syawal Tahun 3 Hijrah yang mengorbankan 70 tentera Islam.
"Ia bagi mengenang kembali perjuangan Rasulullah dalam mengembangkan syiar Islam," katanya