fb fb fb fb fb

Pemberian subsidi kepada rakyat diteruskan- Anwar

(FOTO RTM)

PUTRAJAYA, 16 Oktober - Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat, namun penyelarasan tetap perlu dilaksana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah tersebut dibuat bagi memastikan ketirisan dapat dielak dan hanya mereka yang layak, terima manfaat.

"Subsidi akan diteruskan, namun perlu ada penyelarasan agar tidak diberikan kepada golongan 'maha kaya' atau orang asing dan subsidi itu adalah untuk rakyat yang memerlukan", kata Anwar pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Sementara itu,Anwar turut berharap kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dapat disiapkan menjelang pertengahan tahun depan.

Menurutnya, kajian itu perlu bersifat komprehensif kerana membabitkan reformasi penjawat awam dan kenaikan gaji.

"Sebab itu, saya rasa elok kita berikan isyarat bahawa kerajaan akan beri perhatian lebih baik kerana tidak munasabah untuk mengharapkan prestasi itu meningkat tinggi, tapi kadar upahnya tidak meningkat", ujar Anwar lagi.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyatakan kerajaan sedang meneliti maklum balas serta langkah yang harus diperbaiki menerusi Belanjawan 2024 yang diumumkan Jumaat lalu.

Katanya, usaha itu melibatkan semua pihak dan bukan hanya Kementerian Kewangan sahaja.

"Dalam keadaan ekonomi yang agak getir dengan defisit dengan hutang, kita harap dapat merencanakan sesuatu yang baik.

"Tidak mungkin,kerajaan mampu berikan lebih kerana faktor kekangan. Sekiranya terlalu terikat, rakyat akan menjadi mangsa.

"Jadi, kita merangka belanjawan yang mampu mengimbangi kedua-dua kekuatan atau permasalahan. Bagi saya, soal pendidikan, kesihatan dan kemaslahatan rakyat tidak boleh dikorbankan", kata Anwar.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan
Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini)

Media Baharu