fb fb fb fb fb

Dua pegawai JIM bebas lapan pertuduhan seludup migran

JOHOR BAHRU, 16 Oktober- Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskan tanpa perlu pembelaan terhadap dua pegawai kanan Jabatan Imigresen (JIM) Johor daripada lapan pertuduhan menjalankan penyeludupan migran, tiga tahun lalu. 

Keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prime facie terhadap Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Noryati Abu Bakar, 53 tahun dan Pegawai Imigresen Kanan Haris Fadzillah Abu Bakar, 51 tahun.

Di akhir pendakwaan, Noor Hayati dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa mereka mempunyai pengetahuan kemasukan migran yang disenaraikan adalah tidak sah. 

Mahkamah berpendapat prosedur pengeluaran migran tersebut adalah mengikut tatacara yang dibenarkan pihak imigresen oleh kedua-dua tertuduh dan elemen penyeludupan migran mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 tidak dibuktikan.


(Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Noryati Abu Bakar, 53 tahun dan Pegawai
Imigresen Kanan Haris Fadzillah Abu Bakar, 51 tahun bersama peguam di mahkamah)

Mengikut pertuduhan, mereka bersama tiga yang lain didakwa menjalankan penyeludupan terhadap lapan migran di Lot 21, Jalan Feri di Pelabuhan Pasir Gudang, pukul 12.00 tengah hari pada 15 Jun 2020. 

21 orang saksi dipanggil pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Kodesviary manakala Noryati diwakili peguam, Latheefa Koya dan Zaid Malek manakala Haris Fadzilah diwakili peguam Zamri Idrus, Muhammad Abd Kadir, Md Ridzuan Othman dan Khairulnadiah Hasni Yusoff.

Media Baharu