fb fb fb fb fb

Pemberian dos penggalak di Pahang sasar 100% dalam tempoh sebulan setengah

KUANTAN, 20 Januari - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyasarkan suntikan dos penggalak COVID-19 di negeri ini mencapai 100% dalam tempoh sebulan setengah. 

Bagi tujuan itu, sebanyak 207 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) merangkumi fasiliti awam dan swasta dibuka dengan kapasiti 20,721 dos suntikan sehari.

Pengarah JKNP, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata secara kumulatif sehingga semalam 36.2% atau 380,002 individu telah mendapatkan suntikan dos penggalak.

Mereka mendapatkan janji temu menerusi aplikasi MySejahtera atau secara jumpa terus di fasiliti kesihatan ditetapkan.

"Setiap hari seramai 20,000 orang mendapat suntikan vaksin dan kita menjangkakan boleh mencapai 100% dalam masa mungkin sebulan setengah. Harap sangat mereka yang sudah menerima janji temu dapat datang kecuali jika ada alasan munasabah.

"Mereka yang masih belum terima janji temu kita ada PPV awam atau PPV luar kawasan (off-site), boleh pergi sahaja sebab jumpa terus dibenarkan di Pahang," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan program jangkauan luar JKN Pahang di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang, di sini.

Pada program itu, seramai 44 orang kurang upaya (OKU) menerima suntikan dos penggalak masing-masing.

Mengenai kegiatan penjualan sijil digital palsu beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan di negeri ini daripada orang awam.

"JKNP sangat mengalu-alukan orang ramai berkongsi maklumat mengenai kegiatan penjualan sijil vaksin palsu dan membuat laporan terus kepada pihak kami untuk memudahkan proses siasatan dilakukan," katanya.

Media Baharu