fb fb fb fb fb

Tempoh kuarantin dipendekkan kepada lima hari bagi pengembara lengkap dos penggalak

KUALA LUMPUR, 20 Januari - Bermula 24 Januari ini, tempoh kuarantin bagi pengembara dari luar negara yang telah menerima dos penggalak dipendekkan daripada tujuh hari kepada lima hari.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu diputuskan setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), membuat penilaian semula pengawasan dan pemerhatian termasuk mengambil kira data, sains dan pengalaman negara-negara lain.

Bagaimanapun, jelas Khairy kelonggaran tertakluk kepada beberapa prosedur yang ditetapkan.

"Mereka menjalani ujian, RT-PCR COVID-19 dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19, RT-PCR COVID-19 pada hari ketibaan, RT-PCR pada hari ke-4 atau RTK-Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-5," kata Khairy dalam sidang media KKM di Parlimen.

Tambanya, pelepasan kuarantin akan diberi pada hari ke-5, sekiranya ujian RT-PCR pada hari ke-4 atau RTK-Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-5 negatif.

Pengembara yang tiada dos penggalak tetapi lengkap vaksin, masih tertakluk kepada tempoh sama iaitu selama 7 hari. Manakala, bagi pengembara yang tidak atau belum lengkap divaksinasi, tempoh 10 hari dikekalkan.

Menurut Khairy, Malaysia telah mencapai tahap vaksinasi yang tinggi dan wujud keperluan ke arah usaha membuka ruang yang lebih banyak kepada kemasukan pengembara namun secara berperingkat dan selamat .

"Selain itu sebagai langkah penambahbaikan proses kerja di pintu masuk antarabangsa (PMA), KKM turut membuat ketetapan seperti berikut. Semua pengembara yang tiba dari luar negara akan diberikan digital HSO. Maka dengan itu, pengembara-pengembara tidak perlu lagi dipakaikan gelang pengawasan biasa (warna pink). Bagaimanapun bagi pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi dan dibenarkan menjalani perintah kuarantin di kediaman, mereka masih akan dipakaikan gelang pengawasan digital," katanya.

 

Media Baharu