MELAKA, 23 Jun- Pembekal di negeri ini diingatkan untuk tidak menyorokkan bekalan ayam berikutan penamatan Skim Harga Kawalan bahan mentah itu, akhir bulan ini.
Ingatan itu dikeluarkan Exco Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem.
Tegas beliau, pemantauan akan dilakukan bagi memastikan tidak ada pembekal ayam mentah melakukan perkara sedemikian.
"Dalam minggu ini sampai 1 Julai saya akan beri tumpuan untuk sektor penternakan ayam ini, juga dengan orang tengah.
"Kita akan fokus pada stok mereka, sama ada mereka ada stok ayam yang banyak, telur juga kita akan pastikan dalam pasaran mencukupi ayam dan telur ayam," katanya.
(Ngwe Hee Sem)
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersiaran dalam segmen Apa Khabau YB? di Melakafm, Jalan Taming Sari, di sini.
Mengulas lanjut, Ngwe berkata perbincangan juga akan dilaksana bersama pembekal ayam di Melaka bagi mencari solusi berkaitan bekalan dan harga ayam bermula 1 Julai nanti.
Ini bagi memastikan tiada pembekal yang mengambil kesempatan dengan menjual ayam pada harga tidak munasabah sekaligus membebankan pengguna.