fb fb fb fb fb

Pembayaran inisiatif bantuan meringankan beban penduduk terjejas banjir bermula esok

 


BERA, 9 Januari - Pembayaran inisiatif bantuan meringankan beban mangsa banjir akan bermula esok, dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menyalurkan wang itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk diserahkan kepada mereka yang terlibat. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kerosakan akibat bencana tersebut. 

Katanya, sumbangan termasuk wang tunai dan baucar itu adalah tambahan daripada Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diagihkan sebelum ini.


"Terdapat tiga kaedah pembayaran iaitu pemberian secara terus dengan menghantar ke rumah, agihan di pusat orang ramai seperti dewan dan sebagainya atau dikreditkan terus ke akaun bank penerima. Kita serahkan kepada pihak daerah untuk berbincang dengan ICU JPM berhubung urusan pembayaran".

"Saya mahu pembayaran ini disegerakan dan jangan disulitkan, jangan ada macam-macam borang yang perlu diisi kerana senarai (penduduk terjejas banjir) sudah ada jadi tidak perlu borang. Prinsip kita jangan ada karenah birokrasi yang susah sebaliknya mudahkah bantuan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 daripada kerajaan Pusat dan RM500 sumbangan kerajaan Pahang, di sini.

BWI berkenaan diserahkan kepada 478 mangsa banjir daerah Bera termasuk 45 mangsa banjir gelombang kedua di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini. 

Setakat ini, 8,631 orang daripada 9,203 Ketua Isi Rumah (KIR) yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah menerima wang berkenaan. 

Manakala, KIR yang berpindah ke PPS melibatkan seramai 42,901 daripada 45,475 orang. 

Tambah beliau, ketika ini juga beberapa lokasi di Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka telah pun bermula kerja-kerja baik pulih kerosakan kediaman yang 
melibatkan kontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) peringkat daerah. 


Media Baharu