fb fb fb fb fb

Pembatalan lesen memandu OKU, tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya

Anthony Loke Siew Fook

IPOH, 23 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak boleh membatalkan lesen memandu individu disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) sewenang-wenangnya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan itu dilihat akan menjejaskan keseluruhan golongan tersebut termasuk yang mencari sumber pendapatan dari sektor pengangkutan.

"Saya rasa itu kes spesifik bukan dasar. Jangan beri tafsiran secara umum sebab ada juga ramai OKU yang membawa kenderaan dengan selamat. malah kita ada pemandu e-hailing pun daripada golongan OKU mungkin bisu, pekak dan sebagainya.

"Mereka pemandu e-hailing yang kita lesenkan dan mereka adalah pemandu yang baik. Jadi saya tidak mahu beri kenyataan secara umum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pembangunan Ipoh Sentral Antara Ipoh Sentral Sdn Bhd dan Country Annexe Sdn Bhd di sini.

Majlis turut disaksikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dalam pada itu berkenaan Pembangunan Fasa Pertama Ipoh Sentral ia akan melibatkan pemuliharaan rumah-rumah ibadat dan institusi pendidikan sedia ada serta penambahbaikan kawasan landskap dan rekreasi.

Anthony berkata, proses tersebut mengambil tempoh dua tahun sebelum projek sebenar berlangsung dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.26 bilion

Ipoh Sentral adalah pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang mengintegrasikan pengangkutan awam dengan pembangunan bercampur seperti perumahan, perniagaan, dan rekreasi.

"Seperti yang saya katakan tadi, tujuannya adalah untuk tambah baik, naik taraf kawasan sedia ada, pemuliharaan warisan dan budaya. Supaya ada satu kawasan landskap yang cantik untuk Bandar Raya Ipoh.

"Semua rumah ibadat yang sedia ada dekat sana tidak akan terjejas dan akan dikekalkan. Ia akan dipelihara ditambah baik dan sebagainya. Sebuah masjid baru akan dibina di kawasan tersebut, ini melambangkan keharmonian pelbagai agama dan masyarakat di Ipoh," katanya.

Pembangunan kawasan strategik seluas 67 ekar itu akan menjadi hab pengangkutan moden menghubungkan pelbagai mod pengangkutan seperti kereta api dan bas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI