BATANG KALI, 23 Januari- Selangor melakar sejarah baharu dalam pembangunan tenaga boleh baharu menerusi pelancaran Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali, hari ini.
Loji hidrokuasa kecil itu menjadi bukti berterusan kerajaan negeri dan sektor swasta mengurangkan jejak karbon dan menyokong agenda tenaga lestari negara.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, loji yang berjaya disiapkan setahun lebih awal daripada jadual yang ditetapkan itu mampu memberi manfaat kepada lebih kurang 13,000 kediaman.
"Ini secara tidak langsung akan membantu untuk bekalan tenaga kepada negara sebagainya di samping loji tersebut tidak jauh dari sini kita ada Kerling, lebih kurang 4.5 megawatt jadi.
"Jadi, secara kapasiti penuhnya kita tengok potensi yang dibangunkan boleh digerakkan lebih kurang lima 5.6 sebenarnya daripada 5.1 maknanya hampir 10 megawatt sahaja digerakkan dari mini hidro," katanya.
Amirudin berkata, selain memiliki kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 5.1 megawatt, Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali ini juga mampu mengurangkan karbon hampir 200,000 tan dalam tempoh 21 tahun beroperasi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali, hari ini.
Dimiliki Worldwide Hydro Energy Sdn Bhd, Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali ini terletak di kawasan seluas 3.5 ekar di mana tenaga yang dihasilkan disalurkan ke grid 33kV dan diuruskan Tenaga Nasional Berhad di PMU Ulu Yam.
Projek tersebut menggunakan teknologi turbin dari Global Hydro, Austria manakala penjana pula dari Marelli Motori, Itali.
Sementara itu, susulan kes pertindihan pindah milik tanah, Amirudin memaklumkan Selangor menanggung kerugian tinggi sejak beberapa tahun ini.
Jelasnya, pertindihan tersebut menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar ganti rugi kepada pihak yang terlibat.
"Saya akui dalam tempoh beberapa tahun kerajaan negeri menanggung kerugian yang agak tinggi kerana berlaku pertindihan tanah seperti ini dan ia disebabkan pihak negeri terpaksa menggantikan tanah dan membayar ganti rugi kepada pihak terbabit.
"Ini kerana sebahagian tanah diuruskan dan saya percaya ini hanya isu terpencil yang mana kita boleh cari mana ruang yang boleh diperbaiki dan kesalahan yang boleh kita kenal pasti," katanya.
Sebelum ini, 17 individu termasuk tujuh penjawat awam yang merupakan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Klang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah melibatkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.