ROMPIN, 29 September - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Kampung Kedaik Lama, Muadzam Shah semalam, ditemukan lemas pagi tadi.
Mangsa, Saharudin Harun, 44 tahun, yang bekerja sebagai Pembantu Mekanikal di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuantan, ditemukan pada 11.25 pagi kira-kira 200 meter dari lokasi beliau dipercayai terjatuh.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa ditemukan semasa pasukan Bomba Muadzam Shah melaksanakan kaedah pencarian di permukaan air.
Beliau memaklumkan keadaan sungai ketika itu berarus sederhana laju dan sedikit berpusar, dengan radius pencarian meliputi kawasan sejauh satu kilometer.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula semalam ditamatkan pada pukul 2 petang tadi, melibatkan rondaan bot, selaman Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan anggota bomba," katanya.
SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pagi semalam, mangsa dikatakan keluar memancing bersama seorang rakan. Kedua-duanya tidak memakai jaket keselamatan, manakala mangsa dipercayai tidak tahu berenang.