fb fb fb fb fb

Muzik medium berkesan pendidikan kreatif pelajar istimewa - Pensyarah

Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi, Universiti Taylor’s, Dr Amanallah Soltani(gambar kecil)

KUALA LUMPUR, 29 September – Muzik boleh menjadi medium berkesan bagi memupuk pendidikan inklusif apabila ia digunakan sebagai pendekatan kreatif untuk membantu Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) belajar dan berinteraksi.

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi, Universiti Taylor’s, Dr Amanallah Soltani, muzik berfungsi sebagai bahasa sejagat yang mampu merapatkan jurang serta mengatasi halangan sosial dalam kalangan murid.

"Melalui irama, melodi dan pergerakan, muzik boleh mengurangkan stigma, membina kerjasama, menyokong perkembangan emosi, memori serta kemahiran motor yang penting bagi murid berkeperluan khas untuk berjaya.

“Lebih penting lagi, muzik mewujudkan ruang di mana murid bukan sekadar hadir, tetapi benar-benar disertakan sebagai ahli berharga dalam komuniti pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Malaysia perlu mempunyai kurikulum pendidikan muzik inklusif yang berstruktur, bukan sekadar sesi nyanyian berkala atau konsert tahunan, bagi memastikan setiap murid berpeluang terlibat secara bermakna.

Tambahnya, fleksibiliti menjadi kunci kejayaan kerana setiap murid mempunyai kebolehan, minat dan keperluan berbeza.

"Pendekatan muzik yang disesuaikan dapat meningkatkan keyakinan diri serta rasa kebersamaan dalam kalangan murid," katanya.

Menurut beliau, kurikulum muzik inklusif tidak memerlukan instrumen mahal atau teknologi canggih.

"Dengan latihan sesuai, guru boleh menggunakan alatan muzik mudah untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran secara berkesan," tambah beliau.

Katanya, Bajet 2026 memberikan peluang penting bagi memperkukuh pendidikan inklusif dengan membekalkan sekolah instrumen asas, bahan pengajaran serta latihan guru untuk mengintegrasikan muzik ke dalam amalan bilik darjah.

“Bilik darjah akan menjadi lebih menarik, ceria dan bersatu, khususnya untuk murid berkeperluan khas, apabila muzik dijadikan sebahagian rutin pembelajaran,” katanya.

Beliau menambah, contoh kejayaan seperti The Music Man Project di United Kingdom membuktikan muzik boleh membina identiti, kemahiran serta mencabar persepsi umum terhadap murid berkeperluan khas.

Di Malaysia, katanya, kejayaan pendidik seperti Cikgu Stefanus Lucas dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (P) Kota Kinabalu menjadi inspirasi apabila berjaya menubuhkan bilik muzik khusus dengan sumber terhad.

Katanya, Cikgu Stefanus, penerima Anugerah RISE Educator 2025, memberi peluang kepada murid cacat penglihatan dan pendengaran mengekspresikan diri melalui muzik dengan penuh keyakinan, identiti dan kebanggaan.

Dr Amanallah berkata, penyelidikan memainkan peranan penting dalam membentuk amalan berkesan.

Bukti saintifik membolehkan muzik dijadikan sebahagian bermakna dalam pendidikan inklusif, bukan sekadar aktiviti sampingan.

“Kerjasama antara sekolah, universiti dan komuniti pemuzik boleh menterjemahkan penyelidikan ini kepada amalan yang mampan, sekali gus mencipta impak berskala luas,” katanya.

Beliau yakin pelaburan dalam kurikulum muzik inklusif mampu menjadikan Malaysia peneraju pendidikan inklusif serantau, sekali gus memberi peluang setiap murid menemui suara mereka.

GRACE AISYAH KEDAYAN