BATU PAHAT, 29 September -Program Kampung Angkat MADANI dan PENTARAMA X Kelab Malaysiaku siri kedua di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan, di sini mengetengahkan pendekatan baharu dengan pengisian lebih pelbagai.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan berkata, penganjuran kali ini memfokuskan kepada dua aspek utama iaitu pendidikan dan pembangunan komuniti.
Selain berbentuk mini karnival yang menggabungkan hiburan dan patriotisme, program turut menekankan literasi digital serta usaha menolak budaya buli.
"Memandangkan lokasi yang dipilih adalah di sekolah, jadi saya bawa peningkatan ataupun maklumat berkaitan tentang hala tuju pelajar-pelajar ini selepas tamat persekolahan dan dia tahu ke mana mahu pergi. Ke mana ibaratnya kita buat elemen 'road to university' dan pada masa sama juga kita gabungkan elemen bakti di situ yang mana bakti ini kita pelopori, kita buat secara kerjasama dengan komuniti MADANI, salah satu badan sukarela yang diselaraskan oleh Jabatan Penerangan melibatkan Komuniti MADANI di Batu Pahat," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Menerusi inisiatif itu, JAPEN melaksanakan dua projek fizikal berimpak tinggi, iaitu menaik taraf bilik darjah kepada makmal komputer, serta pemasangan kipas di dewan.
JAPEN turut menyalurkan manfaat kepada komuniti melalui pembinaan blok tambahan Masjid Pekan Sri Medan yang kini dalam fasa awal kerja tapak dan dijangka siap hujung tahun ini.
Lebih 1,500 pengunjung termasuk pelajar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan agensi kerajaan hadir menjayakan program tersebut, mencerminkan komitmen kerajaan memastikan manfaat terus dinikmati rakyat.