fb fb fb fb fb

Pembangunan pangkalan data e-jawi Makmur, perkasa tulisan jawi - MUIP

KUANTAN, 17 Oktober- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) merupakan agensi pertama yang berjaya menubuhkan pangkalan data e-jawi Makmur dengan diselenggara terus oleh Munsyi Jawi negeri.

Ia sekali gus menjadi agensi peneraju kepada Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata inisiatif ini bagi membolehkan masyarakat merujuk kesahihan setiap patah perkataan tulisan jawi yang digunakan.

“Dengan penggunaan tulisan jawi ini ramai yang terkeliru dan mengalami kesukaran bagi mendapatkan kesahihan bagi satu-satu perkataan. Dengan pembangunan pangkalan data e-jawi makmur ini, masyarakat dapat menggunakannya tanpa sebarang keraguan kerana sistem ini telah diakui kesahihannya," kata Ahmad kepada RTM dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Pelan Strategik MUIP 2022-2026 dan E-JawiMakmur MUIP di Kuantan, Pahang.


(Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain)

Turut hadir Timbalan Yang Di-pertua MUIP, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan wakil rasmi, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tambah beliau, penyelenggaraan terus oleh pihak yang diiktiraf membolehkan masyarakat dapat menggunakannya tanpa sebarang keraguan.

Dengan rujukan data e-jawi ini, penggunaan tulisan itu dapat mengembalikan identiti tulisan itu seiring merealisasi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memartabatkan tulisan berkenaan dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, pelaksanaan Pelan Strategik MUIP baharu ini akan menjadi asas rujukan bagi menentukan hala tuju pencapaian matlamat MUIP dalam tempoh lima tahun akan datang.

Media Baharu