PUTRAJAYA, 10 Januari- Malaysia menyokong penuh insiatif Jepun menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini.
Ia terutamanya berkaitan pembangunan semula Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini penting bagi Malaysia dan umat Islam secara keseluruhannya.
"Ini mengenai isu pembinaan semula Gaza dan Palestin.
"Ini sangat bermakna bagi Malaysia dan negara lain," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba sempena lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia di Putrajaya.
Kedua-dua pemimpin itu juga menyatakan sokongan terhadap usaha yang dijalankan Sekretariat ASEAN (ASEC).
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia dan Jepun senada memperkasakan kerjasama dalam bidang pendidikan dalam mempertingkatkan hubungan dan perkongsian strategik lebih menyeluruh.
Anwar berkata, pelbagai inisiatif dibincangkan bersama rakan sejawatnya, Ishiba dalam sektor berkenaan termasuk penubuhan kampus cawangan University Tsukuba di Malaysia.
"Pendidikan tinggi termasuk penubuhan Kampus Cawangan Universiti Tsukuba dan kerjasama yang berkaitan dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Waseda University, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Teknologi Institut Antarabangsa Jepun dan dengan pelbagai penglibatan dengan TVET.
"Jadi, saya kini memohon kepadanya untuk memastikan Keio University, turut serta dalam beberapa program kita, termasuk dalam dialog peradaban kerana terdapat minat untuk berinteraksi antara Islam dan Taoisme," kata Anwar.
Selain itu, Anwar berkata kerjasama yang lama antara PETRONAS dan Jepun dalam perdagangan gas asli cecair (LNG) turut menjadi antara perkara dibincangkan dengan Perdana Menteri Jepun.
Anwar menzahirkan penghargaan atas kerjasama tersebut.
Anwar turut memuji peranan Jepun untuk memajukan inisiatif penangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS) serta penghantaran kargo LNG neutral karbon kepada Shikoku Electric dan Hiroshima Gas, yang sejajar dengan dasar tenaga bersih Malaysia.
Sementara itu, keperluan mengekalkan keamanan dan menyokong Kod Tatalaku di Laut China Selatan; menjadi antara perkara yang dibincangkan menerusi pertemuan antara Anwar dan Ishiba.
Kedua-dua pemimpin menyatakan pendirian bahawa keamanan dan kestabilan amat penting khususnya berhubung isu itu.
Kedua-dua rakan sejawat itu bersetuju agar penyelesaian secara baik di Myanmar perlu dicapai mengikut Konsensus Lima Perkara.
Ia disifatkan langkah terbaik untuk menangani krisis kemanusiaan di Myanmar.