SHAH ALAM, 10 Januari- Sebanyak 61 unit Proton e.Mas 7 akan digunakan sebagai kenderaan rasmi bagi delegasi utama, dalam usaha menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, selain model tersebut, ia termasuk 194 unit Proton X70 yang turut digunakan bagi keperluan delegasi berkenaan.
Jelasnya, semua penghantaran kereta itu dijangka akan selesai pada bulan ini.
"Yang kita dimaklumkan, ini adalah untuk membawa individu yang digelar sebagai ASEAN Senior Officials' Meeting (SOM). Kira pangkatnya seperti Ketua Setiausaha.
Dalam salah satu agenda ASEAN, ada aspek teknologi hijau. Maka, disebabkan itu kerajaan guna e-MAS 7 supaya apa yang dibincangkan dan apa yang digunakan secara tidak langsung selari dengan objektif perbincangan tersebut," kata Roslan kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran bilik pameran Proton e.MAS 7, di sini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemilihan e.MAS 7 sebagai kenderaan rasmi untuk mesyuarat ASEAN adalah bagi menunjukkan sokongan kerajaan terhadap penghasilan kereta elektrik pertama negara.