fb fb fb fb fb

Sasar pembangunan 300,000 hektar kawasan penanaman padi

KUALA LUMPUR, 22 Mac - Kerajaan menyasarkan untuk membangunkan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar, secara berperingkat.

Bagi tujuan itu, 19 syarikat peneraju telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pihak Kerajaan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, terbaharu MOU bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah telah ditandatangani.

Jelasnya hingga Disember lalu, pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor melibatkan kawasan seluas 1,274 hektar dengan bilangan pesawah seramai 881 orang, dilaksanakan.

Jumlah pengeluaran padi bagi IADA Barat Laut Selangor pada tahun 2021 adalah sebanyak 6,325 tan metrik dengan purata hasil 4.99 tan metrik per hektar.

(Ronald menjawab pertanyaan wakil Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh semasa
sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat)

"Program SMART SBB yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor pula melibatkan kawasan seluas 100 hektar telah meningkatkan hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada 8 hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022. Bagi kawasan Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Sabak Bernam untuk musim 1/2021, kawasan seluas 159.8 hektar telah dilaksanakan melibatkan seramai 117 orang pesawah. Jumlah pengeluaran padi adalah sebanyak 610.8 tan metrik dengan purata hasil sebanyak 3.5 sehingga 4.4 tan metrik per hektar," kata Ronald di sini.

Manakala bagi musim 2/2021, kawasan seluas 316.2 hektar telah diusahakan melibatkan seramai 170 orang pesawah.

Jumlah pengeluaran padi meningkat sebanyak 285 peratus kepada 2,357 tan metrik dan purata hasil padi bagi musim itu telah meningkat sebanyak 32 peratus.

Dengan purata hasil yang diperoleh sepanjang musim satu dan dua tahun lalu, membuktikan pelaksanaan program rintis SMART SBB di Selangor telah dapat membantu meningkatkan produktiviti padi tempatan termasuk menangani masalah kemerosotan hasil tanaman padi di kawasan berkenaan.


Media Baharu