fb fb fb fb fb

Pemasangan panel solar di premis kediaman semakin popular

Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjawab pertanyaan media selepas merasmikan sistem solar Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di Sepang, Selangor

SEPANG, 14 Februari- Usaha menggalakkan pemasangan panel solar di premis kediaman seluruh negara ketika ini menunjukkan trend peningkatan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan, trend positif menerusi Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) itu membuatkan kerajaan membuka kuota permohonan untuk pemilik kediaman memasang panel solar di kediaman masing-masing tahun ini.

"Sememangnya tahun ini kita membuka ruang permohonan untuk pemilik kediaman bagi mendapatkan kuota untuk memasang sistem solar di kediaman mereka. Jadi sebenarnya di peringkat kerajaan kita melihat ada trend peningkatan yang menyaksikan pemilik kediaman memilih untuk mengguna pakai sistem solar ini,"katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada media selepas merasmikan sistem solar Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di Sepang, Selangor.

Sebelum ini, program NEM diteruskan dengan tawaran kuota tambahan sebanyak 100 megawatt untuk NEM Rakyat dan 300 megawatt untuk NEM NOVA, sebagai insiatif pelaksanaan program Tenaga Bersih Bersepadu bagi tahun ini. 

Program NEM membolehkan sekurang-kurangnya 25,000 pengguna elektrik domestik dan 100 pengguna kategori komersial dan industri memanfaatkan ruang bumbung di premis bangunan masing-masing untuk penjanaan bekalan elektrik bagi kegunaan sendiri melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV).

Dalam pada itu beliau turut mengulas mengenai usaha pemasangan sistem solar di Movenpick Hotel yang merupakan satu perkara positif khususnya buat industri perhotelan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE