GUA MUSANG, 2 Mac- Pemasangan lampu solar di penempatan orang asli di Kampung Sempadik, Pos Belatim, di sini, Kelantan telah dimasukkan dalam perancangan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif dan dijangka dilaksanakan tahun depan.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memaklumkan projek itu melibatkan sistem solar hibrid bagi kampung yang masih belum menerima bekalan elektrik grid.
"Permohonan untuk projek ini telah dikemukakan dalam Rancangan Pertama (RP1) bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan dijangka dilaksanakan pada tahun 2026," menurut kenyataan hari ini.
Sebagai langkah segera, JAKOA sedang mengenal pasti lokasi yang memerlukan penyelesaian sementara melalui pemasangan lampu solar dengan kerjasama agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut JAKOA, usaha itu bertujuan memastikan kampung yang terkesan dapat menikmati pencahayaan asas sebelum pelaksanaan projek utama dan menegaskan komitmen pihaknya dalam mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan serta kebajikan masyarakat orang asli.
"JAKOA sentiasa komited untuk memastkan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat orang asli khususnya mereka di kawasan pedalaman terus diberi perhatian," menurut kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan komuniti orang asli suku Temiar di Pos Belatim dan Pos Balar berharap bilangan lampu solar dapat ditambah bagi meningkatkan keselamatan dan menerangi kawasan rumah pada waktu malam.
Penduduk menyatakan mereka masih bergantung kepada cahaya lilin serta lampu solar kerana ketiadaan bekalan elektrik. Selain tambahan lampu solar, penduduk turut berharap lampu penghalau gajah dapat disediakan bagi mengurangkan ancaman gajah liar pada waktu malam.