KUALA LUMPUR 2 Mac- Penduduk terjejas banjir di Sabah kekal 350 orang daripada 102 keluarga setakat 9.00 pagi ini yang masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Telupid.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak enam kampung masih terjejas banjir di kawasan pedalaman Sabah itu.
Seramai 115 orang daripada 40 keluarga berada di Masjid Kampung Gana Jati dan 92 daripada 37 keluarga di Dewan Kampung Bambangan.
Dewan Kampung Rancangan Nangoh pula menempatkan 82 orang daripada 23 keluarga, Dewan Kampung Maau (52 orang daripada 14 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Tembidong-Bidong (dua orang daripada satu keluarga).