fb fb fb fb fb

223 PATI dihantar pulang: JIM Johor perketat penguatkuasaan

Foto Facebook Jabatan Imigresen Johor

PONTIAN, 2 Mac-Seramai 223 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara telah dihantar pulang ke negara asal sepanjang minggu ini, menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di Facebook.

Kesemua tahanan yang dihantar pulang telah menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan imigresen sebelum dipindahkan ke negara masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, 131 tahanan merupakan warga Indonesia, diikuti Myanmar (44), Bangladesh (19), Thailand (10), Vietnam (10) serta India (9).

Proses pemindahan warga asing ini diuruskan oleh Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian, dengan menggunakan pelbagai laluan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal Feri Stulang Laut di Pasir Gudang, serta Terminal Feri Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Melaka.

Setakat ini, Depot Imigresen Pekan Nanas telah menghantar pulang seramai 1,178 tahanan, menjadikannya rekod tertinggi yang dicapai oleh depot tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD