fb fb fb fb fb

Pemasangan jambatan Bailey Felda Selancar dimulakan selepas kerja pengukuhan tebing

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Pemasangan jambatan Bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin, Pahang sepanjang 42.67 meter akan dimulakan serta-merta selepas kerja-kerja pengukuhan tebing dilaksanakan. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerja pengukuhan tebing penting untuk memastikan struktur jambatan Bailey yang akan dipasang adalah teguh dan selamat kepada pengguna.

“Saya faham akan keresahan yang dialami oleh penduduk Felda Selancar, Rompin yang hanya mampu menunggu dengan sabar untuk jalan utama mereka dihubungkan semula dengan pembinaan jambatan Bailey.

"Ia sebagai laluan sementara sebelum kerja pembaikan jalan yang terputus akibat musibah banjir tersebut dilaksanakan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Nanta dalam pada itu turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam usaha kerja tambakan dan pemasangan jambatan berkenaan supaya sentiasa berhati-hati.

“Keselamatan semua pihak yang terlibat termasuk pengguna menjadi keutamaan KKR (Kementerian Kerja Raya),” katanya. 

(Kerja-kerja yang dijalankan di jalan Perwira Jaya, Selancar/FOTO JKR/FB Alexander Nanta Linggi)

Mengulas lanjut, Nanta berkata pemasangan jambatan Bailey di lokasi berkenaan diketuai JKR Kuala Pilah bagi pembinaan sepanjang 140 kaki.

Pada Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembinaan jambatan Bailey di jalan utama Felda Selancar yang runtuh.

Jalan utama berkenaan runtuh akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat.

Media Baharu