fb fb fb fb fb

Pemasangan Jalur Gemilang tidak wajar, boleh dikenakan tindakan undang-undang - AGC

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 15 Ogos- Sebarang kesalahan dalam pemasangan atau pemaparan bendera Malaysia atau Jalur Gemilang secara tidak wajar boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya menimbulkan kekeliruan, salah faham serta kegusaran awam.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pihaknya memandang serius isu berkenaan termasuk perbuatan memaparkan, mengibarkan atau memasang bendera negara yang tidak mengikut tatacara yang ditetapkan.

"Jabatan ini ingin menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawabuntukmenghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara, serta mematuhi undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa berkaitan penggunaannya," kata kenyataan itu.

Orang ramai turut diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu atau pihak yang disyaki melakukan kesalahan tersebut.

Antaranya, tindakan menyerbu premis, menularkan maklumat peribadi, membuat tuduhan melulu di media sosial, mencetuskan provokasi atau ugutan serta mengarah penurunan bendera atau menyita bahan tanpa kuasa undang-undang.

Semua aduan atau maklumat berkaitan perlu disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM