SELANGOR, 15 Ogos - Seramai 20 peserta Kursus Professional Certification Building Information Modelling (BIM) berjaya menamatkan latihan dan terus menerima tawaran pekerjaan daripada syarikat terkemuka dalam industri pembinaan.
Kursus tersebut dianjurkan hasil kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bersama Kolej Komuniti Selayang dan Kolej Komuniti Sabak Bernam.
Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi ICU JPM, Dr. Abdul Hazif Hamid, berkata program ini memberi fokus kepada kumpulan sasar termasuk golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU), selaras dengan matlamat meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran peserta.
“Kesemua 20 peserta yang mengikuti kursus menerima tawaran pekerjaan sebaik sahaja menamatkan latihan. Program seperti Train & Place ini adalah kaedah yang sesuai kerana bukan sahaja melatih, tetapi juga menjamin penempatan pekerjaan mengikut keperluan industri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Program Pembangunan Usahawan di Kolej Komuniti Selayang.
Tambah beliau, pelaksanaan program ini seiring dengan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan diperkukuh lagi dalam RMK13 dengan penambahbaikan program serta inisiatif baharu bagi memenuhi kehendak semasa pasaran.
Majlis penutup program itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Strategik ICU JPM, Datuk Norashiken Ishak, yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan syarikat swasta, kerana memberi sokongan sekali gus memastikan peserta memperoleh kemahiran serta peluang pekerjaan yang mampan.