PUTRAJAYA, 15 Ogos- Sebanyak RM3 juta disalurkan kepada Institut Tadbiran Awam (INTAN) bagi memperkasa institut itu sebagai pusat rujukan kecemerlangan perkhidmatan awam di rantau Asia dan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana itu antaranya meliputi penyelidikan dan pembangunan.
"Ia bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan pegawai awam dalam penyampaian perkhidmatan khususnya dalam bidang tujahan baharu.
"Selain itu, dana tersebut juga bagi melonjakkan keupayaan INTAN agar menjadi pusat rujukan bidang tadbir urus dan nilai terbaik serta penerbitan dan pelaksanaan INTAN Country Report bagi perkhidmatan awam negara," katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Tambah beliau, kerajaan juga bersetuju meneruskan program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu: Kelayakan (APEL.Q) bagi tahun 2026, dengan peruntukan RM1.5 juta.
Ke arah itu, kerajaan telah bersetuju untuk menanggung kos pengajian melalui pemberian bantuan yuran pengajian bagi program APEL.Q sehingga 50 peratus atau maksimum RM15,000 bergantung kepada mana yang terendah.
APEL.Q ialah kaedah pengiktirafan kelayakan akademik berdasarkan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu tanpa perlu mengikuti keseluruhan program pengajian di institusi pendidikan tinggi.
Pengalaman tersebut boleh diperoleh melalui pekerjaan, latihan, pengajian tidak formal, kerja sukarela atau pengalaman hidup yang relevan.