GEORGE TOWN, 11 Ogos - Insiden bendera terbalik mencetuskan perbincangan mengenai tahap kesedaran rakyat terhadap etika mengibarkan Jalur Gemilang, khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Orang ramai yang ditemui berpendapat kepentingan semangat patriotik serta pemasangan Jalur Gemilang perlu mengikut tatacara yang betul.
Setiap pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan Jalur Gemilang dipasang dengan tepat dan bukan sekadar meletakkannya tanpa pemeriksaan.
Kedudukan Jalur Gemilang juga perlu diperiksa dengan teliti, termasuk memastikan bahagian atas dan bawah berada pada posisi yang betul.
"Mereka yang memasang Jalur Gemilang perlu memastikan ia dipasang dengan betul, bukan sekadar memasangnya secara sambil lewa," kata penjaga masjid, Zulkid Hawadan Shah.
"Jalur Gemilang merupakan perkara penting bagi rakyat Malaysia, maka pemasangannya perlu diperiksa dengan teliti bagi memastikan kedudukan atas dan bawah adalah betul.
"Bagi saya, tugas memasang Jalur Gemilang di Kolej Islam ini yang baru sahaja siap semalam telah saya lakukan dengan pemeriksaan rapi, bagi mengelakkan ia terbalik atau dipasang tidak betul," kata orang awam, Ahmad Mad Saad.
"Pemasangan Jalur Gemilang itu perlu diperhatikan betul-betul, pastikan bintang dan bulan berada di bahagian atas, bukan di bawah.
"Selain itu, di sekolah sudah diajar tentang cara pemasangan Jalur Gemilang yang betul, kedudukan yang sepatutnya, maksud bintang dan bulan, serta 14 jalur Jalur Gemilang, semuanya perlu difahami," kata peniaga, Mohd Azizul Abdul Malek.
"Kalau dia (pesalah) buat salah, tangkap dan tahan untuk siasatan, termasuk memeriksa telefonnya jika perlu. Perkara itu hanya melibatkan individu berkenaan, jadi jangan salahkan orang lain kerana kita semua mahu hidup aman dan gembira di sini," kata orang awam, T.Ravi Chandran.