fb fb fb fb fb

Johor negeri pertama guna air kumbahan terawat untuk industri pusat data

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dan pusat memastikan keterjaminan bekalan air.

JOHOR BAHRU, 11 Ogos - Johor muncul sebagai negeri pertama memanfaatkan teknologi rawatan air kumbahan bagi kegunaan industri, khususnya sektor fasiliti pusat data.

Sebanyak 12 juta liter air kumbahan terawat akan dibekalkan setiap hari bagi menyokong operasi dua pusat data utama di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dan pusat untuk memastikan keterjaminan bekalan air, selain menyokong industri teknologi mampan.

“Air ini tidak dibuang begitu sahaja, sebaliknya dikitar semula untuk kegunaan industri. Saya berharap negeri-negeri lain dapat mencontohi inisiatif Johor ini kerana ia bukan sahaja selari dengan komitmen kita, malah mengelakkan pembaziran,” katanya.

Langkah ini juga dapat menggalakkan pertumbuhan pusat data di Johor tanpa menjejaskan sumber air bersih negeri, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Penggunaan Air Alternatif bagi Industri Pusat Data di Negeri Johor hari ini.

TUN JULIA MOHD TAHIR