SARATOK, 11 Ogos - Lelaki warga Myanmar yang hilang selepas terjatuh dari sebuah kapal di dermaga Batu Pekan, di sini, Jumaat lalu, ditemukan meninggal dunia tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Thu Htoo Aung, 20 tahun, ditemui terapung oleh penduduk kampung di Sungai Lubuk Petan, Kampung Kupang, pada pukul 12.23 tengah hari.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna, hanya separuh badan, dengan kesan gigitan pada anggota badan,” menurut kenyataan PGO Bomba Sarawak.
Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok bersama polis tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian sebelum mengangkat mayat menggunakan bot penyelamat dan membawanya ke jeti berhampiran.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.