fb fb fb fb fb

Pemaparan tanda harga ubat, beri peluang pengguna buat perbandingan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Arahan pemaparan tanda harga pada ubat-ubatan memberi peluang kepada rakyat untuk membuat perbandingan harga sebelum melakukan pembelian.

Menurut Noorul Huda Tompang yang diemui RTM, inisiatif itu membolehkan pengguna membuat perbandingan harga dengan lebih mudah.

"Itu adalah langkah terbaik yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) memandangkan ekonomi sekarang banyak jenama yang bersaing jadi daripada segi harga kita boleh buat perbandingan.

"Sebenarnya kualiti sama tapi dari segi jenama mungkin ada yang naikkan ikut kualiti. Pada saya sangat membantu kami yang kadang-kadang suka bandingkan yang terbaik," kata Noorul Huda.

Sementara itu Muhammad Qayyum Najmi Umar pula berkata, pengguna boleh membeli ubat mengikut kemampuan masing-masing sekiranya dapat melihat tanda harga yang dipaparkan.

"Sebenarnya baguslah kerana KKM mulakan inisiatif ini supaya masyarakat nampak tanda harga dan boleh dibeli ikut kemampuan sendiri," kata Muhammad Qayyum Najmi Umar.

Manakala Elina Ezrina Mohd Podzi berpendapat, arahan itu juga memperjuangkan hak pengguna untuk mendapatkan maklumat berhubung harga ubat dengan lebih telus.

"Lebih mudahkan sebab dah tau berapa harga perlu dibayar supaya tidak terkejut ketika di kaunter bayaran. Oleh itu saranan kerajaan inilah yang terbaik buat semua," kata Elina Ezrina.

Jelas langkah pemaparan tanda harga ubat menerima reaksi positif daripada masyarakat selain memberi pilihan kepada pengguna untuk membeli pada harga bersesuaian.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI