PORT DICKSON, 6 Februari - Sebanyak 36 khemah sewaan disita oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sepanjang tahun lalu berikutan melanggar Akta 133 dibawah Seksyen 86 Kesalahan Kacau Ganggu.
Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPPD Siti 'Aisyah Abu Bakar, pihaknya mengadakan operasi penguatkuasaan memantau kedudukan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) khemah sewaan yang dipasang oleh pengusaha secara berkala iaitu dua kali sebulan atau bergantung kepada kepadatan musim.
Penguatkuasaan rondaan turut dibuat oleh pasukannya bermula pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah malam pada hari biasa.
"Mereka memberi kerjasama cuma ada dalam keadaan–keadaan tertentu apabila pengunjung terlalu ramai permintaan tinggi dan mereka akan buka khemah. Tapi tak dinafikan jugaklah ada juga yang buka khemah tapi tanpa ada penyewa dari segi keadaan macam tu kita akan sitalah khemah dan meja kerusi yang berada dalam khemah terbabit," kata Siti 'Aisyah di sini.
Tinjaun RTM mendapati rata-rata pengusaha khemah sewa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MPPD dan khemah disusun dalam keadaan teratur.
"Kita pun tidak buat paksaan untuk orang sewa di sini,. Jadi kita akan tanya kalau nak baru kita pasang, kalau tak nak kita tak pasanglah. Tak pernah lagi kita halau setakat ini," kata Zaid Hamdan.
"Bagi saya kalau pemandangan pantai ni terlindung, tidak rasanya. Dan juga kami pasang khemah bukan di kawasan bawah pokok, kami pasang dekat pasir ada jarak 10 kaki dari tembok," kata Fadly Mohd Nasir