fb fb fb fb fb

Kajian terperinci punca banjir perlu dilaksanakan – Noh Omar



KUALA SELANGOR, 6 Februari
- Kerajaan negeri Selangor diminta agar membuat kajian secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar banjir di negeri itu.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar, kajian tersebut perlu digerakkan kerana faktor banjir di setiap tempat berlainan dan kerajaan perlu mengambil pendekatan berbeza.

Jelasnya perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor yang turut dihadirinya pada 27 Januari lalu.

“Kita minta kerajaan negeri membuat kajian terperinci punca banjir sama ada disebabkan sungai, longkang tersumbat atau pembangunan.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lihat semula perancangan pembangunan bersesuaian, jika perancangan tidak sempurna hal ini akan menyusahkan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih Prihatin dan DXN di Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd. Daud Bakar

Seramai 500 ratus mangsa banjir di Kampung Bestari Jaya menerima sumbangan yang terdiri daripada periuk nasi, dapur gas dan beg makanan asas.

Selain itu, wang sebanyak RM2,500 bakal diagihkan bagi setiap individu dan dua buah rumah baharu buat penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana banjir Disember lalu.

Sementara itu, Noh turut mengulas kegiatan perlombongan yang semakin berleluasa di kawasan terbabit.

“Saya dimaklumkan secara tidak rasmi disebabkan aktiviti sedut pasir, lombong menjadi semakin dalam dan air melimpah apabila hujan berlaku.

“Pihak yang meluluskan projek perlombongan jangan hanya fikir keuntungan semata-mata kerana rakyat turut menjadi mangsa,” tegasnya lagi.


Media Baharu