KUANTAN, 20 Jun - Seorang pemandu treler dihadapkan di Mahkamah Trafik Kuantan atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua beradik dalam kejadian pada 13 Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Fatimah Abu Bakar.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Jun lalu, kira-kira pukul 11.00 malam di Jalan Kuantan-Segamat, di persimpangan lampu isyarat FELDA Lepar Hilir Kuantan.
Dia didakwa memandu lori tangki minyak dalam keadaan tidak cermat yang menyebabkan kematian Siti Nur Alia Saffiyah,18 dan Siti Mazurah Zulkifli,30.
Pemandu terbabit didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87 - Pindaan 1999) yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga sepuluh tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
(Muhammad Noor Azwan Abd Saman didakwa memandu lori tangki minyak
dalam keadaan tidak cermat yang menyebabkan kematian dua beradik)
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhlin Hani Khairon, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Julai depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Mahkamah turut menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.