SUNGAI PETANI, 28 Mei- Seorang lelaki ditemukan tidak bernyawa dipercayai maut dipanah petir ketika sedang tidur di sebuah pondok di hadapan rumahnya di Kampung Baru, Pulau Tiga ,Sungai Layar Sungai Petani semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail dalam kenyataan berkata kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 9.45 malam semasa hujan lebat dan petir.
Ketika kejadian mangsa Mohammad Shahrim Sheh Ali, 31 tahun seorang pemandu kren tidur berseorangan di atas buaian dan dikejutkan pengadu lebih kurang pukul 10 malam.
Mangsa ketika dikejutkan didapati tidak sedarkan diri lalu terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dalam perjalanan ke hospital.
Siasatan di tempat kejadian juga menemukan kesan terbakar pada kayu untuk menggantung buaian dan wayar elektrik telah putus.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan terbakar pada mangsa berpunca daripada panahan petir.
Mangsa tiada sebarang rekod sakit kronik dan pemeriksaan terhadap mayat mendapati tiada unsur jenayah berlaku.