KUALA LUMPUR, 10 September- Pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah tidak lagi diwajibkan.
Ia termasuk di dalam bangunan dan luar bangunan, dalam kawasan sekolah.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pemakaian pelitup muka masih digalakkan dalam sekolah terutama di tempat ramai orang.
"Pemakaian pelitup muka dalam bangunan ataupun di luar bangunan dalam kawasan sekolah, adalah mengikut pilihan masing-masing, ianya tidak diwajibkan.
"Namun begitu, kita amat galakkan pemakaiannya khusus di tempat yang ramai orang.
"Pada masa yang sama juga, anak-anak diingatkan bahawa yang naik bas, pastikan memakai pelitup muka dalam bas sekolah...apa yang penting, kita pastikan keadaaan sekolah ini selamat," katanya.
(Radzi Jidin/Facebook)
Beliau menyatakan demikian menerusi video yang di muat naik di Facebooknya, hari ini.
Tambah Radzi, maklumat lanjut berkaitan pemakaian pelitup muka di sekolah akan diperincikan dalam masa terdekat.
Kementerian Kesihatan pada 7 September lalu menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu.