fb fb fb fb fb

Pemakaian Jalur Gemilang usaha awal didik cinta negara

Dr. Muhammad Shamshinor Abdul Azzis

KUALA LUMPUR, 23 April- Langkah mewajibkan pelajar untuk memakai Jalur Gemilang merupakan usaha proaktif institusi pendidikan dalam menyemai semangat patriotisme sejak awal.

Pensyarah di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya merangkap Pegawai Integriti Bertauliah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dr. Muhammad Shamshinor Abdul Azzis berkata ia berfungsi sebagai satu bentuk indoktrinasi positif bagi menanamkan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap negara dalam kalangan pelajar.

"Isu pelajar diminta memakai bendera sebenarnya adalah satu langkah awal untuk menyemai dan mengindoktrinasikan patriotisme. Dari sudut psikologi, penting untuk menanamkan rasa kasih dan cinta kepada negara sejak dari awal usia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media, di sini.

Pengibaran bendera negara lambang maruah dan identiti negara yang perlu dijaga setiap warganegara.

"Bendera kita ni telah mula dikibarkan sejak tahun 1950. Ia bukan sekadar kain, tetapi wajah negara kita. Kita perlu didik pelajar untuk bukan hanya memaparkan bendera, tetapi belajar untuk menjaga dan menghormatinya.

"Malaysia ini rumah kita semua maka menjadi tanggungjawab kita untuk memeliharanya," katanya lagi.

Dalam konteks integriti, Muhammad Shamshinor memuji ekosistem sedia ada yang menyokong usaha memantapkan integriti negara selain menekankan kesungguhan dan kemampuan pelaksanaannya.

Merujuk kepada Modul Governor Integriti dan Anti Sosial (MPGIA) yang telah diwajibkan kepada semua organisasi kerajaan, ia merupakan satu contoh inisiatif relevan, di samping tanggungjawab sektor swasta untuk mematuhi peruntukan bawah Seksyen 17A Akta SPRM berkaitan liabiliti korporat.

"Sektor swasta juga tidak terkecuali. Mereka perlu melaksanakan tatacara mencukupi bagi memastikan integriti korporat dipertahankan, selaras dengan kehendak undang-undang," tambahnya.

Usaha itu diharap dapat memperkukuh budaya integriti dan patriotisme dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda, demi masa depan Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI