fb fb fb fb fb

Pemain industri perlu rebut peluang kemasukan pelancong dari Thailand - Exco Perlis

PADANG BESAR, 17 Julai- Pemain industri pelancongan perlu bijak merebut peluang dalam menarik minat pelancong memasuki Perlis menerusi perkhidmatan tren ulang-alik Padang Besar-Hatyai, Thailand dan menginap sekurang-kurangnya satu malam di negeri ini, kata Exco Pelancongan negeri Asmaiza Ahmad.

Beliau berkata pengusaha industri pelancongan juga perlu lebih kreatif supaya pelancong tidak hanya menjadikan Perlis sekadar tempat transit sebaliknya bermalam di negeri ini.

"Saya difahamkan setelah tiga hari beroperasi bermula (tren ulang-alik) Jumaat lepas (15 Julai), kira-kira 200 pelancong sehari direkodkan memasuki negeri ini menerusi perhidmatan itu.

"Diharap rakyat Perlis mengguna sebaik mungkin peluang ini bagi menambah pendapatan masing-masing seperti menyediakan perkhidmatan van kepada pelancong dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Padang Besar dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan kerja sehari ke Hatyai bagi melihat potensi menarik kemasukan pelancong dari Thailand ke Perlis yang turut disertai 14 pengamal media serta delegasi kerajaan negeri.

Sebelum ini Bernama melaporkan, selepas dua tahun ditutup akibat pandemik COVID-19, perkhidmatan 'shuttle train' Padang Besar-Hatyai kembali beroperasi pada Jumaat.

(Foto fail)

Asmaiza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping turut meminta pengusaha inap desa supaya turut merebut peluang berkenaan memandangkan kekurangan industri perhotelan di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan mampu menarik 6 juta pelancong memasuki Perlis menjelang 2030. -BERNAMA

Media Baharu