fb fb fb fb fb

Pelupusan yuran peguam syarie, Menteri Agama minta kaji semula

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Januari- Tiada yuran dikenakan bawah Seksyen 23, 24, 29, dan 31 Akta Profesion Guaman Syarie di Wilayah- Persekutuan 2019 atau nama lainnya Akta 814 bagi tahun 2023.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar berkata berikutan kajian lanjut masih sedang dilaksanakan dan yuran masih belum ditetapkan.

Oleh itu, beliau berhasrat untuk tidak menetapkan yuran di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 bagi tahun 2023.

Jelasnya, sebagai Menteri yang diberi kuasa, Datuk Naim melihat ini sebagai bebanan kepada Peguam Syarie khususnya dalam era pasca pandemik dan dapat dilihat bahawa profesion guaman syarie ini masih lagi belum pulih sepenuhnya.

Selain itu, Akta Profesion Guaman Syarie di Wilayah Persekutuan 2019 atau Akta 814 juga telah mula berkuat kuasa pada 21 Jun 2022 yang lalu.

Berikutan dengan pelaksanaan Akta 814 tersebut, beberapa yuran dan caj boleh dikenakan ke atas anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPS) iaitu yuran tahunan dan levi di bawah seksyen 47 Akta 814 yang perlu dibayar kepada Badan Peguam Syarie dan juga beberapa yuran lain yang perlu dibayar kepada Ketua Pendaftar.

Justeru, beliau meminta supaya kajian lanjut dilaksanakan oleh pihak-pihak dengan mengambil kira amalan yang dilaksanakan oleh mahkamah sivil dan Majlis Peguam berhubung dengan pengurusan peguam bela dan peguam cara sebelum apa-apa ketetapan berhubung dengan pengenaan yuran boleh dibuat.


(Foto Hiasan/BERNAMA)

Menurutnya, perkara ini penting supaya sebarang keputusan berhubung dengan penetapan yuran dapat dibuat dengan adil serta bebanan kepada mana-mana pihak dapat dielakkan.

Setelah menilai permohonan daripada Peguam Syarie untuk mendapatkan Perakuan Amalan Tahunan di bawah seksyen 29 Akta 814 yang memperuntukkan bahawa permohonan hendaklah disertakan dengan yuran yang ditetapkan tersebut.

Beliau mengambil keputusan untuk tidak menetapkan yuran di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 bagi tahun 2023 dan bagi tahun 2024 dan ke atas perlu ditentukan selepas kajian lanjut dilaksanakan.

Sementara itu, 13 orang Peguam Syarie telah dipilih untuk menganggotai Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP) yang diketuai oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar sebagai pengerusi yang pertama.

Media Baharu