fb fb fb fb fb

Kilang pemprosesan kelapa akan dibuka di Langkon, Kota Marudu

(Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor)

KOTA KINABALU, 31 Mac - Sebuah kilang pemprosesan kelapa bersepadu bernilai RM200 juta akan dibina di Langkon, Kota Marudu.

Kilang ini dijangka akan menyediakan lebih 2,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan sekitar Kota Marudu, Kota Belud, Kudat dan Pitas.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sawit Kinabalu dan Linaco Manufacturing Sdn Bhd telah berlangsung di Menara Kinabalu dan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji menerusi kenyataan semalam memaklumkan, MoU ini adalah yang kedua daripada empat komponen utama perjanjian yang ditandatangani oleh Linaco dengan kerajaan negeri pada 22 Mac 2021.

(Foto fail)

Ia merupakan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya bagi penubuhan Rangka Tindakan Kelapa Bersepadu sebagai pemangkin transformasi sosio-ekonomi sektor berkenaan di negeri ini.

Di bawah komponen ini Sawit Kinabalu telah mengenal pasti tanah seluas 30 hektar untuk pembinaan kilang berkenaan yang akan beroperasi bagi tempoh lima tahun.

Pemilihan Langkon sebagai lokasi pembinaan berdasarkan lokasinya yang strategik dan berpusat akan memberi akses mudah kepada pekerja.

Linaco Sdn Bhd juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyediakan jaringan keselamatan kewangan kepada petani dan pekebun kecil dengan terus membeli hasil tuaian pada harga minimum.

Media Baharu