PUTRAJAYA, 23 Mei – Kerajaan komited untuk memastikan peluang ekonomi bagi golongan bumiputera di Sabah dan Sarawak disamaratakan sama yang dinikmati di Semenanjung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, manfaat pembangunan ekonomi yang dikecapi di Semenanjung wajar turut dirasai secara adil oleh bumiputera di kedua-dua negeri Borneo itu.
“Biarpun masih ada ruang yang luas untuk dicapai, tetapi kita mesti menyamaratakan peluang ekonomi bumiputera ini sama ada di Semenanjung, apatah lagi di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup dalam Sesi Permukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berlangsung di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa perjuangan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak kepada golongan tersebut.
“Tanpa mengenepikan peluang-peluang yang ada kepada bukan bumiputera, ini adalah asas penting. Kita tidak perlu merasa bersalah mengusulkan agenda ini.
“Kerana kita bukan menuntut hak, tetapi kita melaksanakan hak yang telah termaktub dalam perlembagaan,” tegasnya.