fb fb fb fb fb

Pelihara ekosistem alam semulajadi perlu kerjasama kerajaan, swasta - Agong

Foto Bernama

TEMERLOH, 6 November - Usaha memelihara atau memulihkan ekosistem alam semulajadi perlu mendapat dorongan daripada kerajaan dan pihak swasta.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kerajaan perlu mempunyai satu program untuk memantau secara wajib, khususnya di Pahang dalam menentukan program memulihkan alam sekitar dan memelihara habibat di hutan.

"Usaha memelihara atau memulihkan alam semulajadi ini dan juga usaha kita memelihara habitat, khususnya haiwan di dalam hutan perlu diberi satu pengiktirafan, galakan, dorongan oleh pihak kerajaan dan pihak swasta.

"Ini penting walaupun kadang kala kita tidak nampak hasil akhirnya, tetapi hakikatnya kita akan dapat disedari atau dirasai beberapa tahun akan datang, bukan sekelip mata," titah Al-Sultan Abdullah ketika merasmikan Program Eco-Schools Malaysia dan Peta Hala Tuju Usaha Sama Penghijauan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UN GEP2030) di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh, di sini.

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Eco-Schools tersebut dan berharap program berkenaan akan berjaya dan menjadi model untuk seluruh dunia.

"Saya anggap program hari ini begitu penting dalam sistem pendidikan kita yang melibatkan satu usaha kesedaran kepada anak-anak muda khususnya pelajar sekolah," titah Al-Sultan Abdullah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN